Friday, March 25, 2011

Pengeluaran Zakat


Zakat wajib dikeluarkan oleh umat Islam apabila cukup tempohnya. Ada pelbagai jenis zakat yang perlu dibayar oleh umat Islam apabila telah cukup syaratnya. Ada zakat fitrah, zakat pendapatan, zakat simpanan, zakat perniagaan, Zakat KWSP dan tidak ketinggalan Zakat Emas dan Perak. Zakat-zakat ini wajib dikeluarkan oleh kita sebagai umat Islam bagi membantu orang yang kurang berkemampuan selain bagi menyucikan harta dan rezeki yang kita perolehi. Sebagaimana sepotong hadis Nabi Muhammad S.A.W. diriwayatkan oleh Imam Baihaqi yang bermaksud:

“Lindungi harta kamu dengan zakat, ubati sakitmu dengan sedekah, dan hadapi gelombang hidup dengan tawaduk kepada Allah dan doa,“ (HR al-Baihaqi)

Oleh itu, ini menunjukkan bahawa zakat adalah penting bagi umat Islam. Zakat sebenarnya dapat melindungi harta kita di samping memperoleh rahmat daripada Allah S.W.T. Pada kali ini saya ingin berkongsi maklumat mengenai zakat emas dan perak. Zakat emas dan perak wajib dikeluarkan sekiranya telah cukup syarat berdasarkan firman Allah yang bermaksud:

“…dan (ingatlah) orang yang menyimpan emas dan perak serta tidak membelanjakannya (zakat) pada jalan Allah, maka khabarkanlah kepada mereka dengan (balasan) azab seksa yang tidak terperi sakitnya.” (Surah al-Taubah: ayat 34-35)




Nisab bagi emas yang wajib dikeluarkan zakat ialah sebanyak 85g. Apabila memiliki emas yang disimpan sebanyak 85g dan cukup haul iaitu tempoh setahun, maka wajib dikeluarkan zakat bagi emas tersebut. Zakat bagi 85g tersebut adalah bagi emas yang disimpan. Berbeza pula bagi emas yang dipakai. Sebagai contoh barang kemas. Terdapat nisab yang berbeza yang dikira bagi emas yang dipakai dan kadar uruf adalah berbeza mengikut negeri. Sebagai contoh, bagi negeri Perak, kadar urufnya ialah 500g. Oleh itu, sekiranya mempunyai jumlah berat emas yang dipakai sama ada500g atau lebih, maka wajiblah dizakatkan emas tersebut. Kadar zakat yang dikenakan pula adalah 2.5% daripada nilai emas yang dimiliki.

Bagi pengiraannya pula, bagi zakat emas yang dipakai. [contoh negeri Perak: 500g]

[Timbangan emas (gram)] x [harga emas semasa/gram] x 2.5%

Contoh:
Berat emas yang dimiliki : 560 gram
Harga emas semasa/gram : RM 120
Kadar zakat : (timbangan emas) x (harga/gram) x 2.5%
: 560 x 120 x 2.5% = RM 1680

Berikut pula adalah pengiraan bagi zakat emas yang disimpan

[Timbangan emas (gram)] x [harga emas semasa/gram] x 2.5%

Contoh:
Berat emas yang dimiliki: 100gram
Harga emas semasa/gram: RM 120
Kadar zakat : (timbangan emas) x (harga/gram) x 2.5%
: 100 x 120 x 2.5% = RM 300

Bukan sahaja emas, malah perak juga wajib dizakatkan. Nisab zakat perak adalah sebanyak 200 Dirham atau sama atau melebihi 595g. Kadar zakat yang dikenakan juga adalah 2.5% daripada nilai perak tersebut.

Contoh pengiraan zakat perak.

[Timbangan perak (gram)] x [harga perak semasa/gram] x 2.5%

Berat perak yang dimiliki: 650gram
Harga perak semasa/gram: RM 4
Kadar zakat: (timbangan perak) x (harga/gram) x 2.5%
: 650 x 4 x 2.5% = RM 65

Maklumat di atas adalah serba sedikit ilmu yang dapat dikongsi dan dapat dimanfaatkan oleh semua. Berikut diletakkan beberapa soalan yang sering ditanyakan berkaitan zakat emas ini. Semoga beroleh manfaat kepada kita semua.

  • Adakah emas yang disimpan di dalam bank perlu dizakatkan?

    Ya, wajib dizakatkan dan dikira sebagai emas yang disimpan.

  • Adakah saya wajib membayar zakat emas perhiasan yang telah disimpan dan diwarisi daripada nenek?

    Ya, emas perhiasan yang disimpan dan diwarisi wajib dikeluarkan zakat sekiranya cukup syarat.

  • Adakah emas putih wajib dizakatkan?

    Ya, emas putih seperti emas kuning wajib dizakatkan jika sampai atau melebihi 85 gram.

  • Sekiranya saya telah menggadaikan sejumlah emas perhiasan ke dalam skim Al-Rahn, perlukah saya membayar zakat untuk emas yang digadaikan itu? Tidak wajib, kerana tidak sempurna milik.

Untuk mengetahui lebih lanjut, bolehlah rujuk di sini.

Sumber rujukan: Sini

No comments:

Post a Comment